Mayat dalam kanvas: Empat rakan dihadapkan ke mahkamah
Lok Kian Seng, 47, Daniel Ho Chin Cher, 33, Woon Chee Weng, 44, dan Lim Chien Voon, 41, yang masing-masing menghadapi dua pertuduhan mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kesemua lelaki itu bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa atas pertuduhan membunuh Stanley Chew Kok Kin, 24, dan Soo Yao Long, 26, di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 7 hingga 10 Julai lepas.
Keempat-empat tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah.
Mahkamah menetapkan 12 Sept untuk sebutan kes bagi serahan laporan bedah siasat dan dokumen berkaitan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.