Sorting by

×

Hayati erti kemerdekaan, kebebasan yang sebenar

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

Oleh: Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil
Ketua Pegawai Eksekutif,
Zakat Melaka,
Majlis Agama Islam Melaka

MERDEKA! Merdeka! Merdeka!”, adalah laungan keramat yang dilaungkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Beliau telah melaungkan slogan “Merdeka” ini pada tanggal 31 Ogos 1957 semasa upacara penyerahan kedaulatan daripada British kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia.

Tujuan slogan itu dilaungkan adalah sebagai titik permulaan bagi Tanah Melayu untuk memerintah negara tanpa campur tangan asing dan sebagai tanda bebas daripada jajahan British dengan kuasa asing.

Oleh yang demikian, hari kemerdekaan adalah satu peristiwa dan sebuah perayaan kebangsaan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Setiap tahun, pada tanggal 31 Ogos menjadi hari cuti umum bagi negara Malaysia. Sambutan kemerdekaan ini disambut dengan penuh semangat dan meriah.

Sambutan ini diraikan oleh seluruh negeri, bermula dari bandar-bandar utama hingga ke kampung-kampung. Pelbagai acara yang dijalankan semasa sambutan hari kemerdekaan ini termasuklah perarakan merdeka, pertandingan hiasan rumah merdeka, persembahan baju tradisional yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat antaranya di sekolah-sekolah, persatuan, kelab, agensi kerajaan dan swasta.

Kemerdekaan ini bukan hanya sambutan semata-mata, malah memperingati jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu demi mempertahan dan membebaskan negara Malaysia daripada ancaman dan ideologi penjajah. Namun, kebebasan ini membawa maksud yang sangat luas iaitu bebas untuk bersuara, bebas mencari harta, bebas daripada sifat-sifat keji, bebas daripada krisis ekonomi, bebas daripada belenggu jenayah dan sebagainya.

Kebebasan yang paling utama amat ditekankan adalah kebebasan mencari harta. Harta ini adalah matlamat utama untuk kelangsungan hidup berkeluarga. Tanpa harta kehidupan tidak akan sempurna dan bahagia. Harta yang dimiliki ini adalah datangnya daripada Allah SWT untuk diuruskan ke arah kebaikan.

Oleh itu, bagi mengembangkan harta ini perlulah seseorang itu menunaikan tuntutan agama Islam dengan mengerjakan Rukun Islam yang ketiga iaitu ibadah zakat. Ibadah zakat ini dapat membebaskan diri daripada sifat-sifat yang keji iaitu sifat bakhil dan kedekut. Maka salah satu cara untuk menghindari sifat ini, sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 103,

Yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah SWT Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah: 103).

Sehubungan itu, ayuhlah seluruh rakyat Malaysia semarakkan kemeriahan kemerdekaan dengan berkongsi kekayaan bersama mereka yang memerlukan, untuk membebaskan mereka daripada lembah kemiskinan, sekaligus dapat membersihkan hati dan jiwa daripada sifat-sifat keji, seterusnya memperolehi keberkatan doa daripada mereka yang kurang bernasib baik. Semangat merdeka perlu dipupuk dalam diri dan hati anak-anak dari kecil sehinggalah dewasa bagi memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat dan negara.

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.

DATUK IBRAHIM BAJU BIRU 2 (1)
Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil
Ketua Pegawai Eksekutif,
Zakat Melaka,
Majlis Agama Islam Melaka

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1873
Kongsi :
Previous post Rasai suasana kampung tunggu, kutip durian
Next post Perigi warisan pahlawan Melaka
Ubah saiz-+=