Maut dirempuh kereta terbabas
ALOR GAJAH 10 Ogos – Penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Baru, Tanjung Bidara, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 petang itu, mangsa Mohamad Sharil Othman, 43, maut dilokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Honda Accord dipandu lelaki, 40, tahun dan tiga motosikal.
Arshad berkata, sebelum kemalangan Honda Accord dipandu peniaga itu dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah menghala ke Tanjung Bidara, manakala mangsa menunggang Yamaha 135LC dan dua lagi motosikal dari arah bertentangan.
“Hasil siasatan awal dilakukan kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta terbabit hilang kawalan ketika tiba dilokasi kejadian lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar ketiga-tiga motosikal.
“Akibat perlanggaran itu mangsa disahkan maut dilokasi kejadian manakala dua lagi penunggang dan seorang pembonceng cedera dibahagian badan, muka serta tulang rusuk,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah bagi rawatan lanjut manalaka jenazah Mohamad Sharil dibawa ke Unit Forensik hospital sama bagi proses bedah siasat.
“Bagaimanapun pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan sudah diminta ke Balai Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.
“Manakala sampel darah keatas pemandu terbabit juga sudah diambil bagi ujian alkohol,” katanya.
Mengulas lanjut, Arshad berkata, kesemua kenderaan yang terbabit juga kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.