Sorting by

×

‘Mahu jadi insan fahami al-Quran dan jaguh sukan’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PAYA RUMPUT 10 Ogos – Pembahagian masa antara akademik, sukan dan menghafaz al-Quran menjadikan suasana di madrasah tahfiz kini semakin kondusif, sekali gus melahirkan insan serba boleh.

Pelajar Pondok Darul Ulum, Pulau Gadong, Muhammad Uzairul Irfan Musli, 21, berkata, selain menyihatkan badan dengan mengeluarkan peluh, bersukan membantu dirinya menjadi lebih fokus ketika menghafaz al-Quran.

Katanya, ia juga secara tidak langsung menepis tanggapan kononnya pelajar tahfiz hanya diberikan penekanan terhadap aspek ilmu agama semata-mata.

“Tenaga pengajar tidak menghalang kami bersukan, sebaliknya aktiviti sihat ini juga selaras saranan Islam. Bila berpeluh otak menjadi cergas badan pula sihat, lebih mudah untuk terima pelajaran.

“Kami sama seperti remaja lain, cuma lebih berdisiplin, bangun seawal jam 5 pagi solat dan menghafal al-Quran, namun pada waktu petang kami akan bersukan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Liga Penalti Antara Madrasah di sebuah kompleks sukan, di sini, semalam.

photo1691582300
MUHAMMAD HAZIQ.

Sementara itu pelajar Madrasah Rabiatul Adawiyyah, Bukit Katil, Muhammad Haziq Zaqwan Hairul Nizam, 17, berkata, pada awalnya masyarakat sekeliling kelihatan pelik apabila melihat dia bersama rakan yang berkopiah dan seluar panjang bersukan.

“Sebenarnya saya minat bersukan dan memasang angan-angan bergelar bintang, mungkin dalam bola sepak. Tetapi usia yang masih muda dan kesempatan yang ada ini saya gunakan juga untuk mendalami ilmu agama khususnya al-Quran sebagai panduan hidup,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1939
Kongsi :
Previous post Hasrat pesakit kanser pakai seragam bomba tercapai
Next post Maut dirempuh kereta terbabas
Ubah saiz-+=