Sasar 50 peratus peniaga Melaka beralih kepada ‘cashless’
DUYONG 9 Ogos – Kerajaan Negeri menyasarkan 50 peratus peniaga di negeri ini mempraktikkan kaedah pembayaran tanpa tunai (cashless) menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kaedah itu dilihat lebih praktikal memandangkan pada masa kini lebih ramai pengguna semakin cenderung berbelanja tanpa tunai di tangan.
Selain itu, menurutnya, ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Negeri menuju ke arah transformasi digital.
“Kita akan mempergiat ‘walkabout’ tentang insiatif mempromosikan cashless (tanpa tunai) Melaka yang dilaksanakan sejak 29 Mac lalu.
“Kita nak didik peniaga dan orang ramai ke arah ‘cashless’, banyak manfaat akan diperoleh, selain mengawal perbelanjaan ia juga membantu peniaga menyimpan hasil perniagaan mereka.
“Mereka ini bukan semata-mata sebagai penjaja atau peniaga jalanan, tetapi hasrat Kerajaan Negeri menjadikan mereka ini bertaraf bandaraya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout Cashless Melaka di Pasar Malam Taman Seri Duyong di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd Yassin dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar.
Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata, terdapat beberapa syarat tertentu perlu dipatuhi peniaga untuk mengaplikasi kaedah tanpa tunai tersebut.
“Cashless ini ada syarat-syarat perlu dipatuhi, syarat ini bukan untuk menyusahkan peniaga tetapi kita nak martabatkan peniaga jalanan ini bertaraf antarabangsa.
“Ini juga boleh mendisiplinkan peniaga untuk menyimpan duit hasil perniagaan mereka sama ada untuk harian atau simpanan.
“Ia bukan arahan wajib tetapi dengan galakkan dan sokongan daripada MCMC dan agensi kerajaan lain ia akan menjadi satu pendekatan yang baik di masa akan datang,” katanya.
Untuk rekod, setakat tahun 2022 lebih 47,000 lesen perniagaan telah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.