Sorting by

×

Pasar ditutup 14 hari, premis ada najis tikus

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ALOR GAJAH 8 Ogos – Sebuah pasar basah di Sungai Petai, di sini, diarahkan tutup selama 14 hari berikutan tahap kebersihan premis berkenaan tidak memuaskan selain terdapat najis tikus di dalam premis.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, notis penutupan itu berkuatkuasa semalam sehingga 21 Ogos depan selepas pemeriksaan dijalankan di premis terbabit.

Beliau berkata, Operasi Premis Makanan itu dilakukan pihaknya bersama pasukan penguatkuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Ketika pemeriksaan kebersihan dilakukan pasukan penguatkuasa mendapati terdapat makanan diletakkan terus di atas lantai.

“Malah pemeriksaan lanjut juga membawa kepada penemuan najis tikus di dalam premis berkenaan.

“Justeru itu arahan penutupan premis tidak suci dikeluarkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selama 14 hari kepada premis terbabit,” katanya.

Menurut beliau, dalam operasi itu, satu notis kesalahan di bawah Peraturan 38(1)(d) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 membabitkan kesalahan penyimpanan makanan terus di atas lantai turut dikeluarkan.

“Malah JKN turut mengeluarkan satu kompaun bernilai RM2,500 kepada pengusaha premis terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan membabitkan premis atau pengilang makanan yang kotor termasuk produk makanan tamat tarikh luput boleh menyalurkan terus maklumat kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran atau menerusi laman sesawang http://moh.spab.gov.my.,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7326
Kongsi :
Previous post 3,300 pokok lindungi Empangan Durian Tunggal
Next post 45 penjawat awam, pesara rugi lebih RM2 juta diperdaya ‘scammer’
Ubah saiz-+=