Orang Itali kagum seni budaya Malaysia
AYER KEROH 7 Ogos – Lenggok tarian dan busana tradisional masyarakat pelbagai etnik Malaysia mendapat perhatian serta pujian orang Itali, semenangnya terkenal sebagai antara pusat fesyen dunia.
Keunikan pelbagai etnik Malaysia itu dipersembahkan Institut Warisan Melaka (INSWA) sepanjang 11 hari di negara berkenaan.
Menurut kenyataan INSWA, lawatan kali ini telah menjelajah ke beberapa lokasi sekitar Sardegna, Itali seperti Assemini, Ussana, Nurri, Quartucciu, Suelli, Decimomannu, Uta, Sestu dan Masainas.
Setiap persembahan INSWA turut mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Persembahan ini bermula dari 27 Julai sehingga 6 Ogos (semalam), masyarakat Itali sangat tertarik dengan persembahan INSWA dan sentiasa menantikannya.
“Antara pujian diterima adalah kemeriahan dan keunikan pelbagai busana yang digayakan artis budaya INSWA sepanjang persembahan, seperti pakaian etnik Borneo membabitkan Orang Ulu dari negeri Sarawak dan Kadazan dari negeri Sabah,” kata kenyataan itu.
Rombongan Kerajaan Negeri Melaka itu diketuai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron dan Pengurus Besar Melaka World Heritage (WHO), Erne Hamsah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.