Vespa ‘bawa’ Rahim ke Tanah Suci
GADEK 7 Ogos – Peminat Vespa ini membuktikan, jentera klasik miliknya, tahan lasak dan lulus ujian menempuh kembara ke Tanah Suci sejauh 16,000 kilometer.
Rahim Amat, 71, berkata, dia mencabar diri dan menguji kemampuan jentera klasik berusia lebih 50 tahun itu untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah Umrah pada 2013.
Baginya umpama ada ikatan antara dirinya dan jentera tua itu, malah kejayaan kembara berkenaan menjadikan dia semakin sayang untuk melepaskan motosikal klasik berkenaan.
Dia yang juga Pengerusi Samudra Vespa Club, berkata, kembara berkenaan antara pengalaman manis tidak boleh dilupakan sepanjang terbabit dalam dunia permotoran.
“Berbanding motosikal moden atau berkuasa tinggi, cara pengendalian Vespa ini agak sukar, malah sistem mekanikalnya juga berbeza. Tetapi bila sudah faham mudah sahaja.
“Jadi ketika itu saya sahut cabaran untuk membuktikan bahawa Vespa tua berusia lebih 50 tahun ini mampu membawa saya mengelilingi dunia.
“Alhamdulillah, itu antara kembara dakwah yang pernah saya laksanakan, kembara kami membabitkan empat Vespa. Peserta adalah dalam kalangan ahli keluarga dan rakan saya, misi berkenaan mengambil masa dua bulan,” katanya kepada Melaka Hari Ini
Rahim merancang untuk melakukan jelajah siri keduanya ke Tanah Suci dalam masa terdekat ini, juga dengan menunggang kuda tuanya itu.
“Vespa ini saya anggap sebagai salah satu aset negara yang penting, sebab kenderaan ini sangat sentimental dan klasik, malah motosikal ini ketika zaman dahulu hanya dimiliki oleh orang kenamaan sahaja.
“Motosikal inilah peneman saya sejak muda, banyak pengalaman manis bersamanya seperti menghantar anak ke sekolah, selain merupakan kenderaan utama untuk saya pergi dan pulang dari bekerja.
“Vespa hari ini sangat tinggi nilainya, tetapi tidak ramai anak muda meminati Vespa, kerana menyangka penjagaannya rumit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.