Kibar Jalur Gemilang semai patriotisme, RM3,000 menanti pemenang

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 6 Ogos – Kediaman atau premis bangunan yang diceriakan dengan kibaran Jalur Gemilang mengikut kreativiti masing-masing akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Semarak Gemilang.

Anugerah itu sekali gus membolehkan individu kediaman mahupun organisasi bangunan dihadiahkan wang tunai berjumlah RM3,000.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata anugerah berkenaan bukan pertandingan sebaliknya bentuk penghargaan diberikan kepada rakyat yang bersungguh-sungguh menceriakan bangunan atau kediaman dengan Jalur Gemilang.

Katanya, penilaian bagi anugerah berkenaan akan dilaksanakan oleh Sekretariat Jabatan Penerangan (JaPen).

“Semoga dengan semangat mengibarkan jalur gemilang ini dapat menyemarakkan semangat rakyat dalam Kerajaan Perpaduan Madani supaya  kita lebih melangkah ke hadapan.

“Ia demi memastikan bahawa semangat patriotisme ini dapat disemai kepada seluruh rakyat Melaka khasnya dan rakyat Malaysia amnya sempena dengan bulan kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari;  Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dam Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman serta Pengarah Jabatan Penyiaran Melaka, Mohd Yusni Mohamed Ali.

IMG_9769
ORANG ramai mengibarkan Jalur Gemilang pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata anugerah berkenaan antara kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan Kerajaan Negeri menerusi  Ahli Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kecil Sambutan Bulan Kebangsaan.

Beliau berkata, antara program berkenaan termasuk Program Semarak Gemilang iaitu  satu daerah satu program; Info On Wheels Khas Bulan Kebangsaan dan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasa (JIWA) Khas Merdeka serta Pertandingan Sketsa Rukun Negara melibatkan pelajar sekolah menengah yang menganggotai Kelab Malaysiaku.

“Selepas pelancaran ini kita akan minta PBT (pihak berkuasa tempatan) menggalakkan semua pemilik bangunan atau pemilik rumah kediaman mengibarkan jalur gemilang sebagai tanda cinta kepada negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2488
Kongsi :
Previous post Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang meriah dihadiri 2,000 pengunjung
Next post Zoo Melaka jalin kerjasama dapatkan kepakaran, pembiakan Harimau Malaya
Ubah saiz-+=