Sasar capai nilai pelaburan RM7.6 bilion hujung tahun ini – KM
AYER KEROH 3 Ogos – Kerajaan Negeri meminta Invest Melaka menjadi pemudah cara untuk membawa masuk lebih ramai pelabur ke negeri ini, sekali gus mencapai sasaran nilai pelaburan RM7.6 bilion menjelang hujung tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini Melaka telah mencapai RM5 bilion nilai pelaburan, sementara itu sebanyak RM2.6 bilion lagi dijangka dimuktamadkan menerusi kerjasama yang dilaksanakan.
“Invest Melaka adalah platform bagi memberi penerangan dan membawa masuk pelabur ke Melaka, selain bertindak sebagai pemudah cara dengan menyediakan maklumat serta menyegerakan permohonan pelabur masuk ke negeri ini.
“Invest Melaka akan persembahkan kepada mana-mana pelabur untuk membuat pilihan. Kalau mereka memilih kaedah yang kita bentangkan insya-Allah lebih ramai pelabur akan bertapak di negeri ini.
“Kita ada lagi RM2.6 bilion yang akan disempurnakan, sebab itu kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan kita (Kerajaan Negeri) perlu cepat, kalau kita buat pelaburan tetapi tidak dapat kerjasama (untuk meluluskan), ia juga akan jadi masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, barisan Exco serta Timbalan Exco.
Menurutnya lagi, untuk mendapat hasil tersebut, semua agensi perlu memudahkan segala permohonan selain mengurangkan kerenah birokrasi.
“Sebarang polisi baharu diperkenalkan perlu dirujuk kepada Kerajaan Negeri agar selari dengan aspirasi menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur. Besar harapan saya untuk melihat Melaka menjadi destinasi pilihan pelabur utama global,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.