Yakin capai sasaran 5,400 individu jalani saringan kanser

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat
SERI NEGERI 2 Ogos – Seramai 5,400 individu berusia 40 tahun ke atas disasarkan akan menjalani saringan awal mengenal pasti penyakit kanser prostat, kolon dan ovari secara percuma menerusi program MBio Sihat bagi tahun ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan tahap kesedaran rakyat Melaka mengenai pencegahan awal penyakit kanser yang semakin meningkat.
Katanya, pada peringkat awal pelaksanaannya Februari lalu, program MyBio Sihat disasarkan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kurang mendapat sambutan.
Berikutan itu, Perbadanan Bioteknologi Melaka selaku agensi pelaksana mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang 10 Mei lalu bagi membuka program secara percuma itu dilaksanakan terhadap individu berusia 40 tahun ke atas.
“Setakat Jun, cuma seramai 135 penerima JKM menjalani saringan kanser MYBio Sihat. Namun apabila program berkenaan diperluaskan kepada individu berusia 40 tahun ke atas, jumlah individu yang menjalani saringan sudah meningkat kepada 2,964 orang dalam tempoh Februari hingga 21 Julai lalu.
“Dengan peruntukan berjumlah RM540,000 yang diperolehi menerusi bajet tahun lalu, sasaran 5,400 individu menjalani saringan MBio Sihat tahun ini mampu dicapai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang ke-15, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, program berkenaan mendapat kerjasama baik daripada pelbagai agensi lain terutama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Japerun serta institusi pengajian tinggi (IPT).
“Program ini diperhebatkan lagi menerusi konsep turun padang dengan mengadakan pelbagai program bersama klinik kesihatan, Japerun, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Program Hari Bertemu Rakyat,” katanya.
Selain itu, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, Perbadanan Bioteknologi Malaysia berhasrat untuk memperluaskan program MBio Sihat kepada saringan awal mengenal kanser lain seperti kanser hati dan pankreas pada tahun hadapan.
“Saya yakin dan percaya program ini akan diteruskan, sasaran individu menjalani saringan ditingkatkan daripada 5,400 kepada 10,000 orang pada tahun hadapan, bagaimanapun ia akan diusahakan tertakluk kepada kelulusan bajet tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

990
Kongsi :
Previous post Sukan Piala Ketua Menteri: Sasar satu kampung, satu pasukan
Next post Lapan fokus pembangunan ekonomi Melaka
Ubah saiz-+=