Melaka laksana 190 operasi kawal haiwan liar

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 2 Ogos – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Melaka telah melaksana sebanyak 190 operasi bagi menangani konflik hidupan liar dengan manusia setakat Julai tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, jumlah itu meningkat berbanding 182 operasi dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Katanya, berdasarkan data yang diterima, sebanyak 1,972 aduan kacau ganggu hidupan liar telah diterima sepanjang tahun lalu, dengan kera merupakan ancaman tertinggi apabila menerima 1,702 aduan.

Ia diikuti babi hutan dengan 166 aduan, lotong (45 aduan), musang (24 aduan) dan lain-lain spesies 36 aduan.

“Pelbagai inisiatif telah dilakukan Perhilitan Melaka untuk mengawal populasi haiwan liar ini antaranya pemasangan perangkap haiwan liar yang merupakan kaedah paling efektif dan selamat.

“Bagi memastikan semua aduan ditangani sewajarnya, Kerajaan Negeri melalui Perhilitan telah melaksana Program Basmi Musuh Tanaman tahun ini dengan kos berjumlah RM1.9 juta bagi menyediakan 316 perangkap haiwan liar pelbagai jenis.

“Kesemua perangkap ini akan dipasang di kawasan yang menerima aduan tertinggi bermula Julai tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai inisiatif mengawal hidupan liar pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rais memaklumkan Perhilitan juga telah memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (pindaan 2022) yang membenarkan kawalan hidupan liar dilakukan pihak swasta.

Bagaimanapun kawalan yang dilakukan pihak swasta itu mestilah dengan kebenaran pihak Perhilitan dan antara spesies yang dibenarkan ialah monyet, babi hutan dan musang sahaja.

“Walaubagaimanapun, peruntukan ini masih belum dikuatkuasakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

696
Kongsi :
Previous post Kes ‘ic palsu’ meningkat di Melaka
Next post Lima individu terima sijil warganegara- Exco
Ubah saiz-+=