DUN Melaka lulus enakmen berkaitan Anti Lompat Parti
SERI NEGERI 31 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini, sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan anti lompat parti.
Usul berkenaan telah dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (BN-Tanjung Bidara) pada hari pertama Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Usul itu telah mendapat sokongan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), manakala empat Adun tidak hadir.
Terdahulu, usul itu telah dibaca kali kedua oleh Datuk Rais Yasin (BN-Paya Rumput) sebelum ia dibahas oleh empat Adun, tiga mewakili blok kerajaan dan satu blok bukan kerajaan.
Usul itu dibahaskan Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang); Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning); Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) dan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana.
Ab Rauf dalam ucapannya berkata, usul meminda Perlembagaan di peringkat negeri dibuat bagi menyelaraskan pindaan undang-undang di peringkat Persekutuan.
Katanya, ia juga dibuat bagi membawa dimensi baharu dalam politik tanah air.
“Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan Cadangan Pindaan Perkara 6 dan 7A Perlembagaan Negeri Melaka berkenaan kuatkuasa undang-undang anti lompat parti pada 14 Jun 2023.
“Kemudian pada 5 Julai 2023 Jawatankuasa Perlembagaan Negeri telah meluluskan Cadangan Bagi Pindaan Perkara 6 dan 7A Perlembagaan Negeri Melaka dan Draf Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023,” katanya.
Ab Rauf memaklumkan, terdapat lima fasal dipinda daripada Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023.
Antaranya fasal itu menekankan sekiranya ahli (Dewan Undangan Negeri) bertukar parti politik seperti yang disenaraikan oleh Perkara 13A, ahli akan kehilangan kelayakan sebagai ahli.
Fasal itu turut menggariskan bahawa ahli yang melepaskan keahliannya hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker di bawah Fasal (3) Perkara baharu 13A.
Dalam ucapan penggulungannya, Ab Rauf memaklumkan pembentangan Rang Undang-Undang tersebut adalah bertujuan untuk mengukuhkan kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.