Tangguh bina jeti arang batu di Pantai Kundor
SERI NEGERI 31 Julai- Sebarang permohonan berkaitan pembinaan jeti arang batu di Pantai Kundor ditangguhkan sehingga sesi dialog diadakan antara pihak pemaju dan penduduk setempat terutama nelayan kawasan itu.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau difahamkan pembinaan jeti itu adalah untuk projek pemunggahan arang batu.
Katanya, berikutan itu kelulusan bagi pembinaan jeti itu adalah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan bukan bidang kuasa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Jadi, saya sudah berhubung dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan beliau memaklumkan ia belum dapat kelulusan.
“Saya meminta Datuk Bandar untuk menangguhkan sementara pembinaan jeti itu selain minta pihak pemaju untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama nelayan serta penduduk setempat bagi menerangkan cadangan pembinaan projek berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang ke-15 di Dewan Mutakhir, di sini, hari ini.
Terdahulu, pembinaan jeti sementara yang didakwa bagi aktiviti pemunggahan arang batu di Kampung Pantai Kundor meresahkan kira-kira 100 penduduk kawasan berkenaan.
Penduduk mendakwa mereka tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak berhubung pembangunan jeti yang sedang dalam pembinaan itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, majoritinya sumber ekonomi penduduk di kawasan kampung itu berasaskan sumber laut.
Jelasnya, pembangunan jeti berkenaan sudah pasti memberi impak kepada kehidupan seharian golongan nelayan di kawasan itu.
“Selagi mana tiada dialog antara pemaju, nelayan dan penduduk setempat, saya tetap mempertahankan hak mereka. Saya sekeras-kerasnya meminta pihak berkaitan duduk berbincang dengan mereka termasuk membentangkan mengenai projek berkenaan.
“Jika kesan itu negatif kepada rakyat, sudah tentu Kerajaan Negeri sekeras-kerangnya menentang projek itu dilaksanakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.