Sorting by

×

Perluas konsep ‘Wujud Dalam Masyarakat’

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER LIMAU 30 Julai – Program berteraskan Tanggungkawab Korporat Sosial (CSR) bersama agensi menjalankan program pemulihan bagi pesalah jenayah akan dijadikan aktiviti bulanan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program seperti itu secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka berkenaan kembali ke pangkuan masyarakat.

Katanya, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk membimbing dan memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk berubah menjadi insan lebih baik.

“Saya mahukan konsep ‘Wujud Dalam Masyarakat’ ini diperluaskan, kita tidak boleh biarkan golongan ini terus berasa dipinggirkan.

“Jangan sesekali melabelkan mereka ini sebagai golongan bermasalah, jika berlaku demikian mereka ini mungkin akan terus hanyut,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Khidmat Bakti 2023: Pemulihan Alam Sekitar Melestarikan Persekitaran di Jeti Pangkalan Nelayan Tebing Urut, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulkifli Hanifah.

Menurutnya, program berkenaan membabitkan 60 peserta dan dari jumlah itu 34 adalah Pelatih Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).

Jelasnya PKM adalah program rehabilitasi pesalah jenayah bagi menjalankan kerja kerja khidmat masyarakat kendalian JKM dilaksanakan sejak 2007.

Selain itu Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, meminta pengurusan masjid di DUN Ayer Limau turut bersama-sama dalam program kesedaran seumpama itu yang dilihat antara keadah mampu mengimarahkan masjid.

“Sekurang-kurangnya masjid perlu anjurkan program kesedaran, kita sedia bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Sekolah Henry Gurney,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1338
Kongsi :
Previous post PRN: Lebih 39,000 pegawai, anggota dan pasangan TDM terbabit undi awal
Next post Stor ekshibit IPD Sepang dipecah masuk
Ubah saiz-+=