Penjinak rusa Taboh Naning
TABOH NANING 29 Julai – Menternak haiwan liar seperti rusa mungkin dianggap sukar, namun anak jati Taboh Naning, Fazly Syahril, 48, membuktikan tiada yang mustahil.
Bermula dengan enam ekor rusa dari baka Curves Timorensis (rusa timur), kini dia berjaya membiakkan haiwan itu menjadi 26 ekor di Ladang Rusa Naning miliknya di Kampung Lanjut, di sini.
Menurut Fazly, rusa-rusa itu dibeli dari Lenggong, Perak pada tahun 2020 selepas dibenarkan untuk menternak haiwan itu daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak.
Mengakui pada awalnya, dia langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang penternakan rusa, namun, hasil tunjuk ajar JPV dia mula mendapat rentak dan berjaya membiakkan spesies berkenaan.
“Hasil mengikuti latihan dan kursus bersama JPV, saya mula mempelajari cara menjaga pemakanan haiwan ini termasuklah bagaimana untuk memasarkan dagingnya.
“Sebenarnya menjaga rusa timorensis ini sangat mudah, haiwan ini hanya makan dua kali sehari iaitu pagi dan petang, saya hanya sediakan rumput napier, pokok petai belalang, daun balik angin dan daun mulberi yang segar.
“Malah, haiwan ini juga tidak banyak karenah, kos makanan untuk seekor rusa hanya RM1 sehari, makanan mereka juga mudah didapati,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Jelas Fazly, walaupun rusa spesies yang agak liar kerana habitatnya bebas di dalam hutan, namun, dia mampu jinakkan haiwan itu dalam tempoh enam bulan sahaja.
Katanya, haiwan berkenaan juga amat mudah diternak kerana ia tidak memerlukan vaksin atau ubat seperti haiwan ternakan lain.
Menurutnya lagi, kesemua rusa yang diternak di ladangnya kini berusia antara tiga bulan sehingga lima tahun, yang mana berat untuk seekor rusa jantan berusia dua tahun boleh mencecah sehingga 100 kilogram, manakala rusa betina ialah sekitar 60 kilogram.
Walaupun, penjagaannya mudah, menurut Fazly harga daging rusa bernilai tinggi di pasaran.
“Harga sekilo daging rusa mencecah RM90 dan permintaannya sangat tinggi lebih-lebih lagi ketika musim perayaan. Ramai menggemarinya, kerana rasa dagingnya yang manis dan lembut.
“Meskipun begitu, kapasiti untuk kita memenuhi pasaran penjualan dagingnya belum cukup walaupun rusa ini adalah jenis haiwan ternakan yang mudah membiak,” katanya.
Selain daging, Fazly berkata, dia turut menerima permintaan daripada beberapa pihak untuk membeli rusa hidup, namun, setakat ini dia masih belum membuka jualan itu kerana jumlah ternakannya masih belum cukup.
“Insya-Allah apabila ternakan saya bertambah, saya akan membuka jualan rusa hidup kepada yang berminat.
“Kebiasannya, kadar harga bagi rusa dewasa berumur setahun enam bulan ialah sekitar RM3,000 ke RM4,000 seekor, manakala anak rusa baharu putus susu (berusia lima ke enam bulan) RM5,600 sepasang,” katanya.
Dalam pada itu, Fazly berharap industri ternakan rusa dalam negara mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi agar ia setanding dengan haiwan ternakan lain.
“Saya amat berharap pihak kerajaan dan Jabatan Veterinar dapat melihat usaha kami ini memandangkan industri menternak rusa sangat kecil dalam negara.
“Ini kerana rusa disifatkan ternakan yang premium atau bahasa mudahnya kayangan yang mana ia hanya boleh dibeli oleh orang tertentu sahaja,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.