Rumah ‘reput’ berwajah baharu
PAYA RUMPUT 28 Julai – Melihat kediaman yang sebelum ini menunggu masa menyembah bumi sudah berwajah baharu amat menggembirakan Noorazlin Baharom.
Kediaman menjadi tempat Noorazlin berteduh sejak 50 tahun lalu, kini lebih selesa untuk didiami selepas terpilih untuk dibaiki menerusi Program Bandaraya Penyayang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Sebanyak RM15,000 diperuntukan untuk membaiki kediaman berkenaan yang turut dijayakan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua syarikat pemaju perumahan.
“Kalau ikutkan rumah ini tidak selamat diduduki, struktur seperti siling dan dinding sudah reput dimakan anai-anak. Tetapi banyak memori saya di rumah ini, termasuk menjaga arwah bapa yang diserang angin ahmar hinggalah dia meninggal dunia beberapa tahun lalu.
“Memang ada usaha untuk baiki bahagian yang rosak, namun seorang diri saya tidak berdaya, tambahan pula kesihatan sekarang tidak mengizinkan.
“Saya juga tidak ada pendapatan tetap, hanya ambil upah buat kerja kampung, jadi semua perancangan saya terbantut,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.
Terdahulu, majlis perasmian Program Bandaraya Penyayang MBMB disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais di rumah berkenaan.
“Saya anak keenam dari 12 beradik. Sekarang rumah ini menjadi tempat kami 10 beradik berkumpul kerana seorang lagi sudah meninggal dunia.
“Syukur akhirnya doa saya dimakbulkan Allah S.W.T untuk melihat rumah pusaka ini dibaik pulih. Penghargaan terima kasih diberikan kepada MBMB dan 12 anggota tentera terlibat membaiki rumah ini dalam tempoh sebulan selain pihak pemaju membiayai kos bahan binaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.