Pelan kawal COVID-19 jangka panjang dibentang minggu depan
AYER KEROH 31 Okt. – Pelan tindakan kawal COVID-19 jangka panjang dijangka dibentangkan minggu hadapan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, pelan itu kini diberikan keutamaan memandangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu ia disegerakan sebagai langkah mengawal wabak COVID-19.
Ujarnya, buat masa ini, satu komiti di peringkat jawatankuasa induk telah diwujudkan yang terbahagi kepada sembilan jawatankuasa kecil di bawahnya.
“Sembilan jawatankuasa kecil ini terdiri daripada pelbagai sektor dan bidang termasuklah ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial dan lain-lain. Kesemua jawatankuasa kecil ini akan dipengerusikan oleh menteri-menteri berkaitan.
“Jadi, mungkin minggu hadapan, jawatankuasa kecil ini akan membentangkan cadangan masing-masing dan selepas itu ia akan dibentang kepada jawatankuasa induk sebelum sampai ke mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya akan meneliti segala penambahbaikan terbaharu dalam pelan tersebut sebelum mengubahnya menjadi dasar dan dibentangkan kepada rakyat.
“Jika semuanya selesai, kita akan bentangkan kepada rakyat. InsyaAllah kita akan usahakan segera yang boleh,” katanya lagi.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) MKN Datuk Rodzi Md Saad, memaklumkan pelan tindakan secara menyeluruh itu akan dilaksanakan bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 untuk jangka panjang.
Menurutnya, pelan tindakan itu dibuat berdasarkan penilaian fakta dan pengalaman tindakan yang telah dilakukan kerajaan dalam mengawal COVID-19 sejak Januari tahun ini.
Ujarnya, MKN kini masih dalam proses menganalisis semua corak tindakan yang telah dilakukan dengan meneliti sampel yang mempunyai kesan baik yang mana ia kemudiannya digabungkan supaya dapat menjadi satu pelan masa hadapan untuk panduan semua.