PSHMSB uji kecekapan doktor dan jururawat

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDA HILIR 27 Julai – Kecekapan dan profesionalisme kakitangan Hospital Pakar Putra (Melaka) Sdn. Bhd. (PSHMSB) diuji menerusi pembabitan mereka secara langsung pada eksesais Pelan Latihan Bencana berlangsung di Sungai Melaka, di sini, semalam.

‘Person In Charge’ PSHMSB Datuk Dr. Malek Feisal Ayub berkata, latihan itu dijayakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tidak lama lagi.

Katanya, antara objektif latihan itu adalah menguji, menilai tahap kesiapsiagaan dan kecekapan Pasukan Tindak Balas kecemasan PSHMSB serta PPSPM dalam menangani sebarang insiden atau bencana di Sungai Melaka.

“Matlamat kami adalah memperkasakan koordinasi pelbagai agensi dan jabatan terutama PSHMSB serta PPSPM. Kemampuan doktor dan jururawat kami juga diuji sepanjang latihan ini berlangsung.

“Menerusi latihan ini juga kami menilai protokol sistem komunikasi dengan berkongsi maklumat tepat pada masanya antara hospital dan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Antara yang terbabit menjayakan latihan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif PSHMSB Datuk Wira (Dr.) Radhuana Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Datuk TPr. Murad Husin.

Senario latihan itu membabitkan pelanggaran antara bot membawa lapan pelancong dan bot pembersihan di Sungai Melaka.

Akibat pelanggaran, ada mangsa dilaporkan lemas selain mengalami kecederaan dan diberikan bantuan rawatan awal oleh ERT PPSPM.

Latihan itu turut dijayakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kesementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

997
Kongsi :
Previous post Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara
Next post Sidang DUN Melaka 31 Julai hingga 2 Ogos – Speaker
Ubah saiz-+=