Sorting by

×

Festival Merakyatkan Seni dan Budaya @Jonker Walk sasar 15,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 26 Julai – Lebih 15,000 pengunjung disasarkan akan memeriahkan Festival Merakyatkan Seni dan Budaya @Jonker Walk pada 28 hingga 30 Julai ini.

Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Datuk Ronald Gan berkata, festival tersebut bertujuan untuk memaparkan kepelbagaian budaya dan mengembalikan semula nostalgia keharmonian pelbagai kaum di Melaka suatu masa dahulu.

Katanya, acara perasmian festival berkenaan akan diadakan pada Jumaat (28 Julai).

“Pelbagai acara dan persembahan menarik akan diadakan pada Festival Merakyatkan Seni dan Budaya @Jonker Walk pada 28 hingga 30 Julai ini.

“Antara acara menarik seperti Perarakan Kebaya sepanjang 300 meter, program Kenduri Muhibbah: Makan Ala ‘Tok Panjang’ di perkarangan Pentas Opera yang berusia ratusan tahun terletak di hadapan Tokong Cheng Hoon Teng, Jalan Harmoni serta pelbagai lagi.

“Kita mahu orang ramai datang memeriahkan festival ini dengan berpakaian tradisional sekali gus dapat menyemai rasa cinta pada negara,” katanya pada sidang media di Bangunan Gan Boon Loong, di Jalan Jonker di sini hari ini.

Mengulas lanjut, jelasnya festival itu dianjurkan demi memastikan seni budaya warisan negara dapat dipersembahkan kepada pelbagai lapisan masyarakat selain menyemai rasa kecintaan terhadap seni, budaya dan warisan serta menyemarakkan semula indusri pelancongan negara.

Tambahnya, pada festival terbabit turut diadakan program silang budaya yang membabitkan pelbagai kumpulan kesenian.

“Kita juga menjemput kumpulan kesenian dari Negeri Sembilan, Johor dan Sabah untuk mempamerkan kesenian mereka seperti Canang Sendeng Cak Lempong, Kelab Tarian Kiawaian serta Tarian Barongan dan Kuda Kepang,” katanya.

Festival tiga hari itu merupakan program kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (Peranakan), Jawatankuasa Jonker Walk serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4936
Kongsi :
Previous post Warga emas bunuh jiran dipenjara 38 tahun
Next post Kilang ayam didakwa punca bau busuk dikompaun
Ubah saiz-+=