Sorting by

×

Tiga maut, lapan cedera kemalangan babit tiga kenderaan

Masa Membaca:59 Saat

KUANTAN, 24 Julai – Tiga termasuk dua warga emas maut manakala lapan cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM65, Jalan Kuantan-Segamat di Pekan hari ini.

Mereka yang meninggal dunia ialah Ayub Zakaria, 66, yang memandu kereta Toyota Vios dan penumpangnya Podziah Daharun, 65, kedua-duanya beralamat di Segamat, Johor serta penumpang Perodua Myvi Muhammad Azrin Ahmad Nazri, 19, dari Sungai Lembing di sini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian kira-kira 11.20 pagi itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki tiga lelaki.

“Kemalangan berlaku apabila kereta Alza dari Segamat ke Kuantan disyaki hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Myvi, yang turut dilanggar Vios dari arah Segamat ke Kuantan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata lapan yang cedera terdiri daripada dua penumpang Alza, pemandu dan tiga penumpang Myvi serta dua penumpang Vios, kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 72 tahun.

Pemandu Alza bagaimanapun tidak cedera.

Katanya mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala yang cedera turut dirawat di hospital sama dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post Speaker DUN Johor akan maklumkan kekosongan kerusi Simpang Jeram kepada SPR
Next post JKR Melaka pilih 52 kontraktor terbaik laksana projek baharu
Ubah saiz-+=