Tiada projek terbengkalai, hanya lewat siap – Exco
BANDARAYA MELAKA 24 Julai – Projek pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Melaka tiada rekod terbengkalai sebaliknya hanya berdepan dengan isu kelewatan siap daripada tempoh sepatutnya.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, isu kelewatan itu berlaku sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara yang mana ia turut memberi kesan kepada negeri ini.
Katanya, pergerakan terbatas ketika pandemik itu mengakibatkan beberapa projek lewat disiapkan dari tempoh ditetapkan.
“Di Melaka tiada projek sakit cuma terlewat, dulu ada masa wabak COVID-19 melanda negara kita, tetapi kita sudah selesaikannya. Setakat dua tahun ini tiada projek sakit (terbengkalai), hanya lewat siap sahaja.
“Biasanya kontraktor yang ‘delay’ (lewat siap projek) ini alasan mereka adalah masalah cuaca, sumber bahan, tenaga buruh dan kewangan yang tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Kepada Kontraktor Yang Berjaya Dianugerahkan Kerja Gred G1 dan G2 di JKR Melaka di Dewan Ar-Rahman JKR Melaka Tengah di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil dan Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.
Pada majlis itu, seramai 52 kontraktor dipilih telah menerima SST bagi melaksanakan projek pembangunan di negeri ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata susulan isu itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) lebih teliti untuk melantik kontraktor bagi memastikan semua projek pembangunan di bawah jabatan itu siap mengikut tempoh ditetapkan tanpa memberikan sebarang masalah.
“Sebab itu kali ini Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka lebih teliti dalam melantik kontraktor, ini bagi memastikan kontraktor betul-betul berkelayakan dan cukup pengalaman dalam bidang yang diberikan terutama faktor kewangan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan semua kontraktor terpilih supaya melaksanakan kerja-kerja pembangunan yang berkualiti bagi menjaga imej Negeri Melaka.
“Ia bagi memastikan segala projek yang dilaksanakan tidak tertangguh dan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Mereka yang dipilih ini adalah antara terbaik mengikut bidang masing-masing termasuklah dari segi pengalaman, kemampuan, tenaga buruh serta kewangan.
“Saya minta semua kontraktor ini laksanakan kerja dengan baik, ikut spesifikasi ditetapkan dan jaga kuliti kerja, kerja-kerja mereka melambangkan kemajuan Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.