Festival Masakan Warisan sasar tarik 30,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 22 Julai – Sehingga 30,000 pengunjung domestik dan luar negara disasarkan akan singgah ke Festival Masakan Warisan Melaka 2023 berlangsung di perkarangan Muzium Rakyat, di sini, bermula semalam hingga esok.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, festival anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) itu mula dianjurkan pada 2004 dan memasuki edisi ke-14 tahun ini.

Katanya, sebanyak 47 gerai dibuka melibatkan penyertaan daripada pelbagai etnik dalam Negeri Melaka, jabatan kerajaan, muzium, inap desa dan institut pengajian tinggi (IPT) menampilkan kepelbagaian jenis makanan.

“Festival ini mengetengahkan pelbagai elemen warisan tidak nyata seperti demonstrasi dan jualan kraftangan oleh usahawan kraf tempatan, busana warisan dan permainan tradisional.

“Diharap festival ini mencetus minat masyarakat untuk lebih mengenali selain memperkasa warisan dan budaya Negeri Melaka sehingga terkenal di mata dunia.

“Objektif utama festival ini juga bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk meneroka kepelbagaian hidangan tradisional memaparkan cita rasa unik budaya Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada program berkenaan yang dirasmikan oleh Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut hadir, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, merangkap Pengerusi Perzim, Datuk Zaidi Attan dan kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1294
Kongsi :
Previous post Pemilik darah ‘rare’ tidak lokek menderma
Next post Makanan warisan aset negara
Ubah saiz-+=