Tiada anak Orang Asli keciciran akademik

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TABOH NANING 22 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning merekodkan sifar keciciran akademik membabitkan masyarakat Orang Asli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin berkata, kejayaan itu dibantu menerusi pemantauan berterusan oleh pihaknya bagi memastikan semua anak-anak masyarakat Orang Asli itu mendapat pendidikan sewajarnya.

Menurutnya, bukan sahaja tiada yang tercicir, bahkan rekod ponteng sekolah membabitkan masyarakat itu juga adalah rendah.

“Alhamdulillah setakat ini memang saya boleh katakan tiada kes pelajar Orang Asli tidak mahu ke sekolah dan kita sentiasa memantau perkara itu.

“Malah, saya difahamkan ada di antara mereka ini selalu bersemangat untuk datang ke sekolah kerana ada bidang yang mereka minati contohnya muzik.

“Walaupun daripada sudut kecemerlangan akademik mereka masih kurang, namun saya gembira kerana mereka ini mahu bersekolah dan menduduki peperiksaan demi masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kerajaan Negeri Melaka Kepada Pelajar Orang Asli di Kompleks Japerun Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Datuk Mustafa Musa.

Beliau yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, selain aspek pendidikan, beliau juga mahu memperkasa bidang sukan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Taboh Naning.

Ujarnya lagi, ia memandangkan sukan menjadi antara bidang yang diminati anak-anak khususnya di Perkampungan Orang Asli Bukit Payung.

“Orang Asli ini mereka juga cenderung terhadap sukan. Antara sukan yang diminati mereka ialah futsal, sepak takraw dan bola jaring.

“Jadi, kita bercadang untuk memperbanyakkan kejohanan sukan di kawasan ini dengan turut sama menjemput masyarakat Orang Asli ini supaya kita dapat menggilap bakat sebenar mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1025
Kongsi :
Previous post 250 pelajar Orang Asli terima bantuan persekolahan
Next post Derma darah setiap tiga bulan
Ubah saiz-+=