Sorting by

×

‘Kedai cari rakyat’ beri manfaat pengunjung Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PANTAI KUNDOR 16 Julai – Rata-rata masyarakat dan pengunjung Pantai Puteri tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas di Jualan Rahmah Bergerak yang berkonsepkan ‘kedai cari rakyat’.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Pentas Budaya Pantai Puteri mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang membeli minyak masak, telur dan bawang dengan harga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Menurut Salbiah Hashim, 60, dia sempat membeli dua papan telur gred C, dua peket minyak masak dan minyak masak botol pada harga RM45 sahaja.

Menurutnya, dia dan keluarga pada awalnya datang ke pantai tersebut untuk beriadah dan bersantai.

“Saya tidak tahu ada buat Jualan Rahmah, apabila tiba dan dimaklumkan ada jualan murah, sudah tentu saya tidak mahu terlepas untuk membeli barangan dapur dengan harga berpatutan,” katanya yang menetap di Masjid Tanah.

photo1689513644
Pengunjung, Muhammad Harith Haziq Norizal, 20. Foto: MR. AZLI

Nada sama turut disuarakan seorang lagi pengunjung dari Cheng, Muhammad Harith Rizal, 20, yang sempat membeli dua papan telur, bawang dan minyak masak botol.

Jelasnya, program jualan murah seumpama itu wajar dilaksanakan setiap minggu bagi meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan.

“Saya dapat membeli barangan dapur buat satu keluarga untuk tempoh dua minggu dan dengan penjimatan yang banyak.

“Saya rasa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN) perlu buat di setiap lokasi luar bandar seperti ini bagi memberi peluang pada golongan sasar membeli barangan yang dijual pada harga rendah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Marsalina Shamsudin, 42 berkata dia bersama keluarga pulang ke kampung di Melaka dan berkunjung ke pantai tersebut untuk tujuan beriadah.

“Tidak sangka ada buat Jualan Rahmah Bergerak, sempat saya dan adik ipar membeli barangan asas seperti telur dan minyak masak botol dengan harga jauh lebih murah.

“Pada hemat saya, program seumpama ini wajar dilaksanakan setiap minggu di lokasi berbeza dan lebih tumpu pada kawasan luar bandar atau pinggir bandar, ia sangat membantu meringankan beban dengan kos taraf hidup yang semakin tinggi ketika ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1428
Kongsi :
Previous post Gigih naik bas ke Melaka, usaha Muiz berbaloi
Next post Jalan Balik Pulau – Jalan Teluk Bahang ditutup berikutan hakisan tanah
Ubah saiz-+=