Perhalusi kaedah lain bela kebajikan veteran ATM
MACHAP JAYA 15 Julai – Kerajaan akan memperhalusi beberapa cadangan bagi memastikan kebajikan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terbela.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perbincangan lanjut antara Kerajaan dan Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) akan dilaksanakan bagi melihat semula beberapa cadangan lain agar ia mampu membantu golongan itu.
Katanya, kaedah lain itu perlu susulan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) ditamatkan hujung tahun ini.
“Permohonan untuk melanjutkan skim PKKP yang dicadangkan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) akan dilihat semula kerana kita ada MVK di mana wakil-wakilnya terdiri daripada persatuan-persatuan veteran akan hadir pada forum yang akan membincang serta menentukan kebajikan golongan veteran ATM.
“Kita kemukakan beberapa cadangan supaya keputusan boleh dibuat agar ada manfaat kepada veteran-veteran yang berpencen ini kerana pencen mereka rendah.
“Kerajaan buat masa ini memang memberi fokus kepada kebajikan mereka bahkan aspek pendidikan, perumahan dan memperkasa bagaimana untuk membantu usahawan-usahawan golongan veteran juga ditumpukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach dan CSR Perkeso 2023 diadakan di Dewan Serbaguna Felda Tun Ghafar, Hutan Perha di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Abd Razak Omar.
Baru-baru ini, media melaporkan PVATM memohon kerajaan untuk meneruskan pemberian PKKP pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa inisiatif itu akan ditamatkan sehingga Disember tahun ini.
Mahkamah memutuskan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah selepas menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membatalkan keputsan terbabit.
Adly menambah, pihaknya akur dan menghormati keputusan yang diberikan mahkamah bagaimanapun berkata segala pandangan golongan itu perlu dinilai satu jalan terbaik dapat dicapai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.