Sorting by

×

Paya Lebar: ‘The New River Cruise’

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR 15 Julai – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bakal meningkatkan lagi sektor pelancongan di Sungai Paya Lebar, Masjid Tanah selepas Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan projek River Cruise Fasa 2 di lokasi itu.

Ketika mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sungai sepanjang 15 kilometer bersempadan dengan Negeri Sembilan itu bakal meriah dengan pelbagai aktiviti yang bakal menguntungkan penduduk sekitar selepas ini.

Ab Rauf berkata, antara tarikan utama untuk pelancong adalah kira-kira 1,400 ekor buaya yang mendiami Sungai Paya Lebar.

“Ramai tidak tahu Sungai Paya Lebar menjadi habitat buaya. Kawasan itu belum diteroka secara rasmi. Tahun depan akan dilancarkan secara rasmi ‘The New River Cruise’ dari Paya Lebar ke Kuala Linggi.

“Antara tarikan lain adalah restoran terapung yang ketika ini dioperasikan oleh orang kampung.

“Namun Kerajaan Negeri ambil inisiatif untuk tingkatkan lagi atau tambah nilai restoran berkenaan dengan menyediakan sebuah bot bertaraf restoran terapung akan dilancarkan pada 2024.

“Selepas menyusuri sungai boleh singgah untuk menikmati ikan air tawar, udang galah, lokan dan pelbagai lagi jenis ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Jalan Ampang, di sini, malam tadi.

IMG_20230715_023702_518
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap sempena Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pelancaran TMM2024 disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum.

Turut Hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman bersama timbalan beliau Datuk Zaidi Attan, barisan Exco, Timbalan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka.

Turut bersama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Zamri Mat Zain, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar, pesuruhjaya tinggi dan duta negara asing ke Malaysia temasuk Duta China serta Belanda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4310
Kongsi :
Previous post Tambah peruntukan jayakan TMM2024
Next post 50 peratus kontraktor Melaka gulung tikar akibat COVID-19
Ubah saiz-+=