Atlet karate terbaik Asia berhimpun di Melaka, 21-23 Julai ini
AYER KEROH 13 Julai – Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, bakal menjadi medan pentempuran dan aksi lebih 500 atlet karate Asia, 21 hingga 23 Julai ini.
Ia selepas Melaka dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Karate Asia Ke-19 membabitkan penyertaan 32 buah negara.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad menjanjikan penganjuran edisi kali ini lebih berprestij dan bertaraf dunia dengan persiapan rapi telah dijalankan lebih awal beberapa bulan lalu.
Katanya, kejohanan di Melaka itu juga diharap dapat dijadikan penanda aras pada penganjuran Kejohanan Karate Dunia di Budapest, Hungary, Oktober depan.
“Penganjuran kali ini bukan sahaja akan mendatangkan keterujaan dan persaingan yang hebat di antara atlet-atlet dan pasukan dari pelbagai negara Asia malah akan menjadi sebuah platform mempromosikan budaya, warisan dan semangat kesukanan dalam kalangan peminat dan negara yang bertanding,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Azmi turut merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Karate Asia (AKF) dan Persekutuan Karate Dunia (WKF) di atas kepercayaan yang diberikan bagi Negeri Melaka menganjurkan Kejohanan berkenaan.
“MAKAF amat menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak AKF dan WKF bagi penganjuran kali ini diadakan di Melaka.
“Bagi pihak MAKAF dan penganjur bersama iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kami mengalu-alukan kehadiran peminat sukan Karate terutamanya dan orang ramai ke MITC, Ayer Keroh bagi menyaksikan persaingan sengit atlet-atlet karate Asia berentap merebut kejuaraan,” katanya.
Untuk rekod, kejohanan Karate Asia ke-19 bakal mempertandingkan 17 kategori secara keseluruhan iaitu 11 kategori individu lelaki dan wanita dalam acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing, selain enam kategori berpasukan Kata dan Kumite lelaki dan wanita.
Pada edisi kali ini, Kejohanan Para Karate Asia edisi ke-2 juga bakal berlangsung serentak bagi memastikan atlet Para turut menerima tumpuan sama pada kejohanan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.