Tukang masak maut motosikal rempuh belakang lori

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

ALOR GAJAH 12 Julai – Seorang penunggang motosikal maut, manakala pemboncengnya parah dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 221.1 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan), petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang, mangsa Arsyad Tebek Mohd Madura, 26, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Manakala pemboncengnya, Fathur Rahman Lukmanul Hakim, 33 mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Alor Gajah, sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Salak Tinggi sedang dalam perjalanan pulang ke kampung di Tangkak.

Menurutnya, ketika di lokasi kemalangan iaitu jalan mendaki tiga lorong dengan keadaan trafik yang sibuk, motosikal berkenaan telah melanggar belakang sebelah kanan sebuah lori.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua penunggang dan pembonceng telah mengalami kecederaan parah di kepala dan penunggang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat, manakala pemboncengnya kini dirawat di Hospital Melaka,” katanya.

Arshad berkata, kedua-dua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2082
Kongsi :
Previous post 33 mangsa banjir di Jasin dipindahkan ke PPS
Next post Persidangan SOC, 420 pegawai kanan JKR dirai
Ubah saiz-+=