Kajian menyeluruh sebelum pertimbang lampu isyarat
PAYA RUMPUT 11 Julai – Kajian akan dilaksanakan pihak berwajib sebelum mempertimbangkan pemasangan lampu isyarat di persimpangan Taman Rambai Jaya, di sini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kajian tersebut akan dilakukan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan aduan lokasi berkenaan kerap berlaku kemalangan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, kajian tersebut penting bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua pihak, selain situasi menang-menang dapat dicapai.
“Saya dimaklumkan penduduk setempat telah membuat permohonan untuk memasang lampu isyarat di persimpangan terbabit kerana lokasi tersebut merupakan ‘hotspot’ kemalangan jalan raya. Namun, kajian perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
“Saya juga telah meminta pihak MBMB untuk memperbaiki jalan di persimpangan itu, selain meminta pihak JKR untuk mencari kaedah bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya pada satu hantaran di Facebook rasmi selepas membuat lawatan dan tinjauan di lokasi berkenaan, hari ini.
Dalam lawatannya itu, Rais turut cakna terhadap masalah rumah pam tersumbat di Taman Rambai Jaya yang disebabkan longgokan sampah.
“Saya harap semua pihak dapat beri kerjasama dan bertanggungjawab membuang sampah di tempat yang sepatutnya.
“Saya sentiasa komited dalam melunaskan tanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan warga Paya Rumput,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.