Sorting by

×

Promosi judi atas talian, enam ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KOTA LAKSAMANA 10 Julai – Enam lelaki tempatan ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket judi dalam talian selepas polis menyerbu sebuah premis di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun ditahan di premis berkenaan pada jam 3.30 petang.

Katanya, dalam serbuan itu polis merampas 50 set komputer, telefon bimbit pelbagai jenis serta beberapa jenis dokumen.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket itu mengendali dan mempromosi pertaruhan dalam talian yang menjadikan premis itu sebagai pusat panggilan dan aktif menjalankan kegiatan itu sejak sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati semua suspek menerima bayaran antara RM800 hingga RM3,500 dan mensasarkan pelanggan tempatan di laman sosial dan aplikasi telefon bimbit.

“Mereka menawarkan pertaruhan menerusi laman sosial seperti Facebook dan aplikasi Wechat, Telegram dan Whatsapp dengan menggunakan akaun palsu untuk menarik minat pelanggan.

“Segala transaksi jualan dan belian dilakukan melalui perbankan atas talian,” katanya.

Christopher berkata semua suspek direman empat hari hingga hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 2B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan sebarang iklan dan promosi mahupun permainan judi dalam talian yang menggunakan pelbagai saluran media internet.

“Polis memandangan serius aktiviti perjudian ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1024
Kongsi :
Previous post Polis siasat Abdul Hadi berhubung kenyataan sentuh isu 3R
Next post Jalan pintas simpang Alor Gajah ke pekan Durian Tunggal kurangkan kesesakan
Ubah saiz-+=