Sorting by

×

Transformasi hidup melalui hijrah

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

MUHARAM adalah bulan pertama dalam Takwim Hijrah. Pada bulan ini, Allah SWT melarang manusia melakukan peperangan atau pertumpahan darah.

Bulan Muharam merupakan bulan yang penting bagi umat Islam kerana pada bulan ini, Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Tujuan perpindahan Baginda adalah untuk menyelamatkan diri dari kota yang ketika itu penuh ancaman dari orang-orang kafir, menuju kota yang aman dan penuh keimanan.

Hijrah pada dasarnya bermaksud perjuangan untuk meninggalkan perkara buruk ke arah yang lebih baik. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

Hijrah memerlukan pengorbanan yang besar daripada umat Islam. Bermula daripada meninggalkan persekitaran yang tidak baik, meninggalkan gaya hidup yang tidak sesuai dengan ajaran agama, hingga meninggalkan pekerjaan yang bertentangan dengan prinsip agama. Semua ini dilakukan demi mencari keredaan dan rahmat Allah SWT.

Seiring dengan perkembangan zaman, manusia menghadapi pelbagai cabaran dan masalah. Oleh itu, untuk terus membangun dan menjadi lebih baik, manusia dituntut untuk berhijrah. Dalam konteks agama, seseorang yang berhijrah, berusaha menjauhkan diri daripada maksiat dan berusaha memperbaiki akhlaknya ke arah yang lebih baik. Sebagai contoh, lebih khusyuk dalam menunaikan solat, berpuasa dengan betul, dan mempunyai kesedaran untuk menunaikan zakat.

Hijrah juga bermaksud mengubah cara berfikir dan memperkayakan ilmu. Orang yang berhijrah akan membuka diri untuk belajar dan meningkatkan kebolehan dalam pelbagai bidang. Mereka tidak lagi melihat ilmu sebagai tidak bermakna, tetapi sebagai modal untuk mencapai kejayaan dan memberi sumbangan positif kepada alam sekitar dan masyarakat sekeliling.

Penghijrahan ke arah kebaikan juga melibatkan usaha ke arah mencapai kesempurnaan diri. Manusia yang berhijrah menyedari dirinya tidak sempurna dan sentiasa ada ruang untuk diperbaiki. Mereka sentiasa belajar, mencuba perkara baru, dan menghadapi cabaran dengan sikap optimis. Oleh yang demikian, penghijrahan amat penting dilakukan bermula dari sekarang dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada dari segi pemikiran, pemahaman, dan penghayatan secara menyeluruh terhadap ajaran Islam.

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.

 

Sekian terima kasih.

 

Tulus Ikhlas Dari,

(Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil)

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka,

Majlis Agama Islam Melaka

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5817
Kongsi :
Previous post ILSS: Bentuk kemenjadian, lahirkan insan berkeyakinan
Next post Karnival kerja bantu kurangkan pengangguran anak muda
Ubah saiz-+=