TMM2024: APM Melaka bersedia hadapi peningkatan pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

MASJID TANAH 8 Julai – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, turut melakukan persiapan bagi memastikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) berjalan lancar.

Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, dijangka berlaku peningkatan jumlah pelancong di lokasi-lokasi tumpuan dan peranginan sekitar negeri ini sepanjang TMM2024 nanti.

Katanya, setakat ini APM Melaka memberikan tumpuan kepada tiga lokasi peranginan utama iaitu Pantai Tanjung Bidara, Pantai Pengalan Balak dan Pantai Puteri.

“Kami mempunyai kemudahan menara tinjau di lokasi berkenaan, pegawai dan anggota akan ditugaskan setiap hari termasuk cuti umum dan hujung minggu.

“Penugasan itu akan dimulakan hujung tahun ini hingga penghujung 2024. Setiap hari empat pegawai akan bertugas dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

“Manakala pada hujung minggu jumlah itu ditambah kepada enam pegawai dan anggota sesuai dengan peningkatan jumlah pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan gimik pelepasan wakil Melaka ke Pertandingan Civil Defense Lifeguard Challenge (CDLC) di Pejabat Unit Pertahanan Awam Masjid Tanah, di sini, semalam.

Menurutnya, tumpuan juga diberikan kepada lokasi popular perkelahan seperti kawasan air terjun sekitar Jasin.

“Setakat ini kesemua aset dan logistik APM Melaka mencukupi. Kami melakukan penyelenggaraan berkala bagi memastikan setiap aset dapat digerakkan ke lokasi kecemasan pada bila-bila masa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1235
Kongsi :
Previous post Jejantas RM3 juta beri manfaat 1,000 pelajar
Next post Mayat disyaki mangsa bunuh ditemukan terapung di muara sungai
Ubah saiz-+=