Melaka mohon lebih 20 projek infrastruktur untuk keselesaan rakyat
TANGGA BATU 7 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) memohon lebih 20 projek infrastruktur bagi memberikan lebih keselesaan kepada rakyat.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, projek berkenaan adalah antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menyediakan infrastruktur lebih berkualiti.
“JKR sentiasa merancang pelbagai projek infrastruktur terutama membabitkan naik taraf jalan dan kemudahan awam di negeri ini.
“Antara projek terbesar yang telah diluluskan dan bakal bermula ialah pelebaran jalan dua lorong kepada empat lorong di Persimpangan Bukit Katil hingga ke Semabok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Mengganti Jambatan Sedia Ada di Tangga Batu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah JKR Melaka Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.
Mengulas mengenai projek mengganti jambatan di Tangga Batu itu, Hameed berkata, pembinaan kemudahan menelan kos RM2.9 juta itu dimulakan pada tahun 2020.
Hameed berkata, kemudahan baharu itu akan memberikan lebih keselesaan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor dan Tangga Batu dalam menyelesaikan urusan harian seperti ke tepat kerja dan sekolah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.