Ibu, teman lelaki direman bantu siasatan kematian kanak-kanak lelaki 3 tahun
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata wanita berusia 24 tahun dan lelaki berusia 25 tahun itu, ditahan pada 8 malam tadi di Hospital Melaka.
Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa oleh wanita berkenaan dan teman lelakinya ke hospital tersebut kira-kira 6.50 pagi semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Sebaik tiba di hospital, kanak-kanak itu diberikan bantuan pernafasan selama satu jam 10 minit, namun mangsa tidak memberi sebarang respons sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.15 pagi semalam.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira 10.30 pagi dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala serta badan mangsa. Punca kematian disebabkan kecederaan di kepala dan bahagian perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, ibu mangsa telah membawa kanak-kanak berkenaan yang mengalami muntah-muntah untuk berubat di rumah teman lelakinya di Cheng, di sini kira-kira 5.30 pagi semalam.
Katanya bagaimanapun tidak sampai satu jam kemudian, ibu mangsa telah dihubungi teman lelakinya memaklumkan kanak-kanak tersebut telah terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum pasangan itu membawa mangsa ke Hospital Melaka.
Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
Christopher turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar supaya tidak mengganggu siasatan selain dikhuatiri menimbulkan kegusaran kepada masyarakat. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.