Sorting by

×

Pelawa syarikat konglomerat AS melabur di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BATU BERENDAM 7 Julai – Serius mahu menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perindustrian dunia, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mempelawa lebih banyak pemain industri berteknologi tinggi antarabangsa dan syarikat multinasional bertapak di negeri ini.

Antara prospek terkini menjadi fokus Ab Rauf, adalah syarikat-syarikat konglomerat dari Amerika Syarikat (AS) yang terkenal sebagai antara pengeluar produk elektronik dunia.

Ab Rauf optimis perkara itu mampu direalisasikan memandangkan Melaka sudah terkenal sebagai sebuah negeri mesra pelabur dalam kalangan pemain industri antarabangsa.

Katanya, Melaka juga sudah terbukti menjadi negeri pilihan dan mendapat keyakinan cukup tinggi dalam kalangan pelabur membabitkan syarikat multinasional berpangkalan di Eropah sebelum ini.

“Saya bertanya kepada Duta AS ke Malaysia jika ada lagi syarikat dari negara kuasa dunia itu yang akan melabur di Melaka.

“Setakat ini, Texas Instruments merupakan antara syarikat dari AS yang telah bertapak di Melaka lebih 50 tahun dan kini telah mengembangkan pelaburan serta perniagaan mereka di Melaka.

“Saya berharap dengan keyakinan yang ditunjukkan (Texas Instruments) ini, kita dapat menjemput lebih banyak syarikat konglomerat dari negara itu untuk melabur di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Baharu Texas Instruments Electronics, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Turut hadir, Duta AS ke Malaysia Brian McFeeters; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan pengurusan tertinggi Texas Instruments Electronics.

Menurut Ab Rauf, pelaburan baharu bernilai RM5 bilion daripada Texas Instruments itu menyaksikan sebuah kilang pemasangan baharu akan dibina dengan keluasan 90,000 kaki persegi.

Katanya, kilang baharu yang dinamakan Texas Instruments Electronics Malaysia 2 (TIEM2) itu dijangka beroperasi pada 2025, selain membuka 500 peluang pekerjaan baharu kepada orang Melaka.

“Ini bakal menambah bilangan pekerja mereka selepas kilang pertama menggajikan seramai 2,000 pekerja yang 100 peratus merupakan anak tempatan.

“Jadi, kepada anak-anak Melaka terutama yang baharu tamat pengajian pada 2025 nanti diharap dapat mengambil peluang untuk bekerja bersama syarikat ini. Saya percaya ini merupakan peluang keemasan yang dinantikan golongan muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3057
Kongsi :
Previous post Dua beradik antara ditahan jadi ‘saintis’ dadah
Next post Melaka optimis nilai pelaburan terus meningkat
Ubah saiz-+=