Sorting by

×

Padang sintetik moden, mercu tanda DUN Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

ASAHAN 7 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan kini dilengkapi kemudahan sukan moden, selepas padang bola sepak sintetik bernilai RM500,000 di Kampung Nyalas, di sini, siap sepenuhnya.

Kemudahan diuruskan Kelab Bola Sepak Nyaleh itu turut menarik perhatian orang ramai khusus dalam kalangan peminat sukan bola sepak kerana difahamkan ia adalah antara padang sintetik yang ada di Negeri Melaka.

Ramai yang teruja untuk beraksi menggunakan kemudahan baharu itu dan difahamkan jadual tempahan penggunaan padang sintetik berkenaan bagi perlawanan bola sepak pada Sabtu dan Ahad setiap minggu sudah penuh sehingga Ogos.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, kemudahan sukan itu dianggap sebagai mercu tanda bagi penduduk DUN berkenaan.

Katanya, apa yang pasti padang sintetik itu akan menarik lebih ramai anak muda untuk aktif bersukan, sekali gus menjadi medan mengintai bakat baharu bola sepak Negeri Melaka.

“Permohonan bagi pembinaan padang bola sepak ini dibuat tahun lalu, alhamdulillah diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta siap sepenuhnya Jun lalu.

“Ada beberapa lagi kemudahan lain akan ditambah selepas ini seperti lampu supaya perlawanan atau latihan bola sepak bolah dijalankan pada waktu malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, berkata mengikut rekod setakat ini DUN Asahan mempunyai 15 pasukan bola sepak mewakili pelbagai organisasi.

Beliau juga berharap padang baharu itu membantu melahirkan lebih ramai bintang bola sepak baharu dari DUN Asahan.

Terdahulu Majlis Penyerahan Padang Bola Sepak Kampung Nyalas itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka, Khairul Adri Rosli disaksikan Fairul Nizam pada 28 Jun lalu yang turut dihadiri Pegawai Daerah Jasin, Rahizi Ranom.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4202
Kongsi :
Previous post Piala Ketua Menteri medan 5,000 atlet beraksi
Next post MPHTJ mohon selesaikan bayaran cukai pintu, tunggakan
Ubah saiz-+=