Pembangunan Pulau Besar semakin rancak

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

PULAU BESAR 7 Julai – Pulau Besar bakal mengalami transformasi dan pembangunan lebih pesat, sekali gus menjadikannya sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, sejumlah RM3.6 juta telah dibelanjakan bagi kerja naik taraf kemudahan awam dan asas.

Menurutnya, susulan lawatan kerja dan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Steering Committee Pulau Besar dipengerusikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, baru-baru ini, beberapa lagi perancangan penambahbaikan baharu bakal dilaksanakan.

Katanya, antara diberi perhatian ialah capaian internet di pulau berkenaan yang bakal dinaik taraf dengan pembinaan tiga lagi menara baharu oleh Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH).

Selain itu, ujarnya, projek penyahgaraman air laut atau ‘Sea Water Reverse Osmosis’ (SWRO) di pulau berkenaan juga bakal dinaik taraf menerusi pembangunan fasa kedua oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

“Dengan kemudahan utiliti dinaik taraf termasuk bekalan elektrik, ia akan dapat merancakkan lagi pembangunan di pulau ini.

“Malah, chalet dan resort sedia ada di pulau ini juga bakal beroperasi semula, Kerajaan Negeri sedang mencari pelabur atau operator baharu agar selepas ini pelancong boleh bermalam di situ.

“Jadi semua ini, termasuk naik taraf jeti bagi tujuan pengangkutan ke Pulau Besar, kemudahan pejalan kaki, pelantar baharu disediakan diharap dapat menggamit kehadiran pelancong ke pulau ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, selain tarikan pelancongan, Pulau Besar juga bakal menjadi destinasi pertama di Selatan tanah air akan dijadikan pusat cerapan data bagi kajian ribut dan kilat.

Jelasnya, projek dijalankan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) itu bakal menjadi tempat kajian tenaga selain kesan-kesan banjir membabitkan Melaka, Negeri Sembilan serta Johor.

“Fenomena alam itu akan dikaji dan dilihat bagaimana untuk mendapatkan data terkini atau maklumat masa sebenar banjir kilat supaya ia boleh dijadikan rujukan kerajaan di kemudian hari,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, dalam memastikan aktiviti khurafat lebih terkawal di pulau berkenaan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga bakal menambah pondok keselamatan dan menaik taraf pagar di kawasan makam.

Pada masa sama, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga akan menaik taraf gerai milik mereka untuk dijadikan gerai cenderahati untuk pelancong membeli buah tangan istimewa daripada pulau berkenaan.

“Diharap dengan penambahbaikan sedia ada dan mendatang ini nanti, aspek kebersihan turut diberi perhatian bukan sahaja oleh pengunjung, bahkan operator di pulau ini.

“Sekiranya didapati arahan kebersihan tidak dipatuhi, tindakan tegas boleh diambil termasuk menamatkan operasi mereka di Pulau Besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5331
Kongsi :
Previous post Perginya berjasa
Next post Piala Ketua Menteri medan 5,000 atlet beraksi
Ubah saiz-+=