Angkat produk tempatan jadi tarikan pelancongan Melaka
BUKIT RAMBAI 6 Julai – Produk-produk tempatan dihasilkan di negeri ini wajar disenaraikan sebagai antara tarikan pelancongan baharu Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, langkah itu bersesuaian sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Menurutnya, selain lokasi bersejarah dan tempat menarik, produk dihasilkan berpotensi besar untuk diketengahkan dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pelancong.
“Contoh produk kopi sudah lama bertapak di Negeri Melaka ini. Mereka mempunyai sejarah yang menarik sejak awal pembukaan sehingga sekarang yang mana ia boleh dijadikan galeri untuk menarik pelancong.
“Selain itu, produk keluaran tempatan seperti ini juga boleh dijadikan buah tangan eksklusif untuk pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke Melaka.
“Saya percaya, jika pelancong datang ke Klebang misalnya, mereka bukan sahaja boleh bersantai pantai atau melawat dusun buah-buahan, bahkan datang ke kilang-kilang penghasilan makanan atau sebagainya untuk membeli buah tangan, sekali gus merangsang ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat sebuah kilang kopi di Taman Perindustrian Tanjung Minyak Perdana, di sini, hari ini.
Jelas Ban Hong, kilang kopi kegemaran rakyat Malaysia itu telah bertapak lebih 50 tahun di Negeri Melaka dan telah menjalani transformasi dengan penggunaan teknologi automasi selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Katanya, kilang menghasilkan lebih 30 jenis produk minuman itu bukan sahaja dipasarkan dalam negara, bahkan turut dieksport negara-negara Asia seperti China, Singapura dan Uzbekistan.
“Saya melihat penerokaan pasaran baharu di luar negara ini amat penting dalam menambah nilai eksport negara dan Negeri Melaka.
“Kerajaan Negeri Melaka akan sentiasa bersedia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran negara dan antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.