Kerajaan Negeri nafi beri notis pindah kepada peniaga – Exco Kanan

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 5 Julai – Kerajaan negeri menafikan dakwaan mengeluarkan notis memindahkan peniaga di Bandar Hilir termasuk di Uptown Pahlawan Walk.

Pengesahan itu sekali gus menjawab spekulasi satu video klip berdurasi 55 saat yang tular di laman sosial memaparkan seorang wanita mendakwa kira-kira 200 peniaga di kawasan itu dipindahkan secara paksa.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata dakwaan dalam video terbabit adalah tidak benar.

Malah katanya, penganjur mahupun peniaga mengesahkan belum menerima sebarang notis perpindahan.

“Saya yakin dan percaya tidak mungkin Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan pihak berkuasa negeri ingin
membunuh sendiri ekonomi peniaga-peniaga di kawasan terbabit.

“Perbuatan menularkan berita yang tidak sahih menerusi media sosial itu disifatkan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan perlu untuk wanita dalam video itu mencari fakta dan bukannya memaparkan perkara yang tidak benar.

“Saya ingin nyatakan dengan jelas tiada satu pun notis dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kepada peniaga di sekitar Bandar Hilir untuk dipindahkan ke tempat lain,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Menyatuni Peniaga Bandar Hilir di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan,Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan
Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Rais berkata MBMB baharu diberi mandat pada Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mengadakan sesi dialog dan perbincangan dengan seluruh peniaga yang terlibat termasuk pengusaha hotel di sekitar Bandar Hilir.

Menurutnya, hasrat Kerajaan Negeri ingin mewujudkan zon bebas kenderaan sejauh 2.4 kilometer (km) pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad adalah bertujuan untuk memastikan Melaka menjuarai bandar rendah karbon.

Katanya, cadangan itu juga mahu memelihara bangunan bersejarah di sekitar lokasi berkenaan.

“Zon Bebas Kenderaan ini masih dalam tempoh kajian, ia hanyalah perancangan Kerajaan Negeri namun kajian mendalam kita akan lakukan lagi serta mengambil masa yang panjang.

“Pada sesi dialog yang diadakan malam tadi kita dapati ada peniaga menyatakan persetujuan dan ada segelintir pula tidak bersetuju.

“Saya sendiri akan turun padang untuk bertemu dengan semua peniaga yang terlibat bagi mendapat maklum balas sebelum keputusan dibawa pada MMKN sama ada perlu diteruskan atau tidak pelaksanaan cadangan Zon Bebas Kenderaan ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4555
Kongsi :
Previous post Kawasan rekreasi dibangunkan di Semabok Perdana
Next post Tragedi kepala air: Keluarga bersyukur dapat selesaikan pengebumian
Ubah saiz-+=