Sorting by

×

JKR tumpu hasil percubaan projek rintis ‘No Right Turn’

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 Julai – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memberi tumpuan secara menyeluruh kepada hasil penutupan percubaan projek rintis ‘No Right Turn’ di persimpangan Stadium Hang Jebat, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

Pengarah JKR negeri, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman berkata, kajian lebih mendalam akan dilaksanakan bagi mengenal pasti laluan utama dipilih pengguna selepas penutupan secara percubaan dilaksanakan.

“Tempoh percubaan ‘No Right Turn’ sepatutnya dilaksanakan semalam (Isnin), namun ditangguhkan berikutan Ketua Menteri, meminta kami mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada penduduk sekitar dan pengguna jalan raya.

“Penangguhan itu dilakukan kerana kita tidak mahu pengguna jalan raya terbeban dengan pelaksanaan percubaan projek rintis ini, sebab itu kajian lebih menyeluruh dan terperinci diminta untuk dilaksanakan.

“Selepas membuat kajian pada tempoh percubaan, barulah kita akan laksanakan fasa lampu isyarat percubaan pula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan di lokasi cadangan pelaksanaan inisiatif ‘No Right Turn’ oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di persimpangan Stadium Hang Jebat, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ismail berkata bila akan dilaksanakan tempoh percubaan ia bergantung kepada keputusan mesyuarat jawatankuasa projek rintis tersebut.

“Tempoh percubaan akan diputuskan menerusi dua mesyuarat jawatankuasa bersama Ketua Menteri dalam tempoh 30 hari sebelum pelaksanaan penutupan percubaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2093
Kongsi :
Previous post Kembara Seri Setia MBMB tawar hadiah bernilai RM20,000
Next post PRN: Pengagihan kerusi PH, BN selesai – PM Anwar
Ubah saiz-+=