Sorting by

×

Jenazah mangsa tragedi kepala Air Jeram Mawar tiba di HSNZ

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Jenazah Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, yang maut dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman semalam, tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk bedah siasat.

Jenazah dua beranak yang dibawa oleh kenderaan polis tiba di HSNZ kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Sepupu kepada Allahyarham Azizah, Muhammad Syamsul Musa, 37, dari Kampung Seberang Takir di sini berkata dia dimaklumkan mengenai insiden itu tengah hari semalam oleh ahli keluarga mangsa.

Muhammad Syamsul berkata hubungannya dengan keluarga Allahyarham memang amat rapat dan kali terakhir mereka berjumpa adalah pada Mac lepas.

“Hubungan saya dengan Allahyarham dan keluarganya memang rapat. Malah keluarganya tempat saya menumpang kasih sewaktu kecil.

“Memang terkejut dan sedih apabila mendapat tahu berita itu kerana Allahyarham dan semua keluarganya pergi dalam sekelip mata,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ di sini, hari ini.

Muhammad Syamsul berkata dia difahamkan bahawa suami Allahyarham, Karim Abdullah, 39, baru sebulan bekerja sebagai pemandu jengkaut di Air Putih, Kemaman.

Semalam, mayat dua beranak itu dijumpai oleh orang ramai dalam keadaan terapung dan tersangkut pada dahan pokok kira-kira 12.30 tengah hari, manakala tujuh ahli keluarga mereka dan seorang individu lain masih hilang.

Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada 6 petang semalam akibat cuaca buruk diteruskan semula kira-kira 9 pagi tadi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1225
Kongsi :
Previous post Lawatan ke KLIA bertujuan angkat martabat Imigresen – PM
Next post Tragedi kepala air: Operasi SAR babitkan radius 32 km
Ubah saiz-+=