Sorting by

×

Sungai Melaka Fasa 2 jadi pusat latihan sukan air

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Julai – Sungai Melaka Fasa 2 akan dijadikan sebagai pusat latihan sukan air dan riadah kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, laluan sepanjang 4.9 kilometer itu bakal menjadi pusat bagi latihan sukan kayak dan perahu naga.

Katanya, perancangan itu bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong khusus sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tidak lama lagi.

“Pengurusan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) diminta menyediakan jadual agar aktiviti riadah dan latihan dapat dijalankan khususnya oleh ahli Persatuan Perahu Naga.

“Satu tarikan baharu juga akan diwujudkan bagi memberikan ruang kepada peminat-peminat sukan kayak menjadikan sungai ini sebagai tempat latihan dan riadah. Selain itu Kerajaan Negeri berhasrat untuk mempromosikan beberapa lagi sukan air yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perlumbaan Perahu Naga 2023 di River Information Centre (RIC), Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Low Chee Leong.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Datuk Tpr. Murad Husin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Pengerusi Persatuan Perahu Naga Melaka, Datuk Wong Soo Tang dan Pengerusi Pengelola Perlumbaan Perahu Naga, Chiu Chee Ming.

Terdahulu, pertandingan memasuki siri ke 43 tahun kali ini menyaksikan 30 pasukan dari seluruh negara berentap untuk memburu kejuaraan kategori tertutup dan terbuka.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, pelbagai tarikan lain akan dilaksanakan menjelang TMM2024 antaranya pertandingan memancing ikan air tawar dalam masa terdekat.

“Kita jangka pada September nanti akan berlangsungnya pertandingan yang direncanakan ini. Peringkat pertama kita sasar seramai 3,000 peserta akan mengambil bahagian.

“Sebagai persediaan 150,000 anak ikan dilepaskan ke sungai dan sudah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1246
Kongsi :
Previous post PM gesa individu buat ciapan biadab berhubung kesihatan Presiden Pas mohon maaf
Next post Hari Tasyrik terakhir ibadah korban bersama masyarakat Orang Asli
Ubah saiz-+=