Sorting by

×

Hujan lebat berterusan mungkin punca tanah runtuh – JKR Daerah Kinta

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

IPOH, 28 Jun – Jumlah aliran air permukaan yang tinggi akibat hujan lebat berterusan mungkin menjadi punca kepada kejadian tanah runtuh di laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) seksyen 45.00, malam tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan berkaitan kejadian diterima pada 11.25 malam dengan runtuhan itu telah menutup keseluruhan jalan tersebut.

Menurut kenyataan itu, JKR Daerah Kinta dan pihak konsesi jalan persekutuan telah mengambil tindakan segera menghantar pasukan ke lokasi kejadian, selain memaklumkan kepada polis untuk menjalankan sekatan jalan raya.

“Punca kejadian berkemungkinan disebabkan jumlah aliran air permukaan yang tinggi daripada hujan lebat dan berterusan dan menyebabkan sisa tanah runtuh ke bahagian jalan. Bagaimanapun, tiada kerosakan melibatkan pengguna jalan raya,” demikian menurut kenyataan itu.

Bagi tindakan jangka pendek, JKR Daerah Kinta memaklumkan pihaknya telah menutup sementara laluan tersebut kepada semua jenis kenderaan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan dan membuka laluan satu lorong pada 1.34 pagi tadi.

JKR Daerah Kinta turut memaklumkan laluan tersebut telah dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan pada 4.30 pagi dengan kerja-kerja pembersihan masih dilaksanakan di lokasi kejadian.

“JKR akan menambah keperluan TMP (Pelan Pengurusan Trafik) untuk keselamatan pengguna jalan raya. Pemantauan berterusan akan dijalankan sebagai langkah persediaan awal untuk sebarang kemungkinan yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1034
Kongsi :
Previous post Tangguh tutup simpang di Stadium Hang Jebat
Next post MBMB sasar kutipan cukai taksiran RM120 juta
Ubah saiz-+=