Beri peluang asnaf bayar zakat

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KESIDANG 27 Jun – Program Perintis Usahawan Aspirasi Milagro beri peluang perniagaan kepada asnaf untuk menjalankan perniagaan dalam bidang pertanian secara organik sekali gus melahirkan pembayar zakat dalam kalangan golongan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Milagro, Mat Jantan berkata program tersebut memasuki kali kedua itu telah menghimpunkan hampir 150 asnaf di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Katanya, daripada jumlah itu hanya seramai 60 asnaf yang berminat untuk dibimbing menerusi program terbabit.

“Menerusi program ini, kita mahu lahirkan pembayar zakat dalam kalangan asnaf ini.

“Kita akan membimbing asnaf ini untuk meniaga dengan membekalkan kit asas memulakan perniagaan, selain kita mahu mereka untuk menjalankan aktiviti pertanian dan menikmati hasil pertanian tersebut dengan menghasilkan pendapatan.

“Program ini juga bertujuan untuk membangunkan ekonomi asnaf Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Perintis Usahawan Aspirasi Milagro di Wisma Haji Mat di sini hari ini.

Hadir sama, Pembantu Tadbir MAIM (Unit Pembangunan dan Usahawan Asnaf), Tarmizi Ab Karim.

Mengulas lanjut, Mat meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 10 asnaf daripada jumlah yang terlibat berjaya menjadi pembayar zakat.

“Hal ini kerana, kita telah melahirkan ramai usahawan di bawah Milagro dan golongan ini boleh menjana sekurang-kurangnya RM500 hingga RM1,000 sebulan.

“Kita akan bimbing kesemua asnaf yang berminat dalam bidang pertanian ini untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan sekali gus mampu menjadi pembayar zakat pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1572
Kongsi :
Previous post Pasangan kekasih dituduh bunuh warga emas
Next post Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga anggota TUDM terkorban semasa latihan
Ubah saiz-+=