150,000 benih ikan dilepaskan ke Empangan Sungai Batu Hampar

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PENGKALAN BATU 27 Jun – Sebanyak 150,000 ekor benih ikan dilepaskan Jabatan Perikanan Melaka ke perairan umum dan tertutup di Empangan Sungai Batu Hampar, di sini, hari ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pelepasan itu membabitkan 50,000 benih ikan lampam sungai yang dibebaskan ke perairan umum manakala bakinya membabitkan ikan keli serta talapia merah pula dilepaskan ke perairan tertutup.

Katanya, pelepasan semua benih ikan itu membabitkan peruntukan kira-kira RM50,000.

“Pelepasan (benih ikan) adalah untuk pertandingan memancing sempena Tahun Melawat Melaka 2024 yang dijangka pada September atau Oktober depan.

“Ikan yang dilepaskan ini, kita sasarkan akan cukup besar untuk dipancing dalam tempoh dua bulan lagi dan bersesuaian dengan perancangan mengadakan pertandingan memancing secara besar-besaran nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pelepasan Benih Ikan Untuk Pertandingan Memancing Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 di Empangan Sungai Batu Hampar, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Low Chee Leong dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Mohd Fauzi Salehon.

photo_2023-06-27_11-44-25 (2)
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhammad Akmal Saleh (tengah) diiringi Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong (kanan) bersama Pengarah Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon (kiri) melepaskan benih ikan pada Majlis Pelepasan benih ikan ke perairan umum negeri di Empangan Sungai Batu Hampar, Peringgit, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurutnya, sepanjang tahun ini Jabatan Perikanan juga menyasarkan kira-kira 600,000 ekor benih ikan seperti baung sungai dan terbul serta udang galah akan dilepaskan di sungai utama di Melaka.

“Pada 2021 sebanyak 528,900 ekor benih ikan termasuk udang galah sudah dilepaskan diikuti 466,160 ekor pada tahun lalu.

“Pelepasan benih ikan ini ke perairan diharap dapat menambahkan lagi stok sumber perikanan selain dapat juga memberi manfaat kepada nelayan darat.

“Daripada statistik yang kita dapat, nelayan darat dapat hasil lebih 4,000 tan ikan daripada pelepasan yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1332
Kongsi :
Previous post Seramai 1,659,837 jemaah haji berada di Arab Saudi setakat Ahad
Next post Taman Laut Melaka bakal dibuka kepada pelancong
Ubah saiz-+=