Sorting by

×

Penoreh dan pekebun kecil getah ‘tersenyum’

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

AYER LIMAU 28 Okt. – Penoreh dan pekebun kecil yang sebelum ini terpaksa bergelut dengan harga getah beku terlalu rendah, mulai tersenyum puas sejak dua minggu
lalu berikutan kenaikan harga komoditi itu.

Kepuasan jelas terpancar pada wajah mereka apabila harga getah beku melepasi harga lantai RM2.50 sejak dua minggu lalu dan mencecah hampir RM3 hari ini.

Dengan harga belian getah beku RM2.95 sekilogram oleh pembeli berlesen hari ini, tiada apa yang diluahkan penoreh dan pekebun kecil, selain tersenyum riang selepas terpaksa bergelut dengan harga getah di bawah RM2 sekilogram sejak tiga tahun lalu.

Bagi T. Palani, 47, harga getah pada hari ini amat menceriakannya selepas lama bersabar  dengan pendapatan yang tidak seberapa akibat kejatuhan harga sebelum ini.

“Sejak dua minggu lalu harga sudah melepasi RM2.50 yang ditetapkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk membolehkan kami menerima Insentif Pengeluaran Getah
(IPG).

“Hari ini harga mencecah RM2.95 dan kemungkinan besar esok mencecah RM3, iaitu harga tertinggi yang pernah kami dapat sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui menjual getah beku kepada pembeli berlesen, Rustam Ma’ali di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah di sini hari ini.

T Palani (kiri), Rustam (kanan) dan Rasol menimbang getah beku di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah.
– Foto Din Ahmad

Harga lantai getah beku RM2.50 sekilogram ditetapkan LGM bagi membolehkan penoreh dan pekebun menerima insentif bagi perbezaan harga semasa dengan harga lantai.

Contohnya jika harga semasa RM2 sekilogram, penoreh dan pekebun kecil layak menerima insentif 50 sen yang dibayar antara satu atau dua bulan selepas tuntutan dikemukakan.

K. Kalidasen, 39, berkata kenaikan harga amat melegakannya kerana mempunyai dana yang lebih untuk membiayai kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang.

“Harga pernah jatuh hingga RM1.90 sekilogram sebelum ini dan menyebabkan kebanyakan penoreh tidak mahu menoreh tetapi saya tetap menoreh kerana itu sahaja sumber pendapatan saya,” katanya.

Palani dan Kalidesan menoreh di kebun getah seluas 1.6 hektar milik penduduk Kampung Ramuan Cina Kecil dengan kemampuan menoreh kawasan seluas 0.8 hektar sehari.
Dengan jualan 121 kilogram getah beku pada harga RM2.95 sekilogram, Palani dan

Kalidesan berkongsi hasil jualan RM356 yang bakal digunakan untuk perbelanjaan harian keluarga masing-masing.

Rustam berkata, pengilang getah tidak pernah memaklumkan kepadanya faktor harga getah beku meningkat, sebaliknya cuma menawarkan harga melebihi RM2.50 mulai dua minggu lalu.

“Sejak harga meningkat dua minggu lalu, semakin ramai penoreh dan pekebun kecil kembali menoreh selepas kebanyakan mereka menggantung pisau toreh kerana harga terlalu rendah sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, aliran meningkat itu dijangka berterusan selama beberapa minggu lagi seperti yang pernah berlaku pada pertengahan 2016 yang menyaksikan harga getah meningkat hingga mencecah RM4 sekilogram.

Harga RM4 bertahan selama sebulan ketika itu sebelum perlahan-lahan menurun semula hingga mencecah paras terendah RM1.90 sekilogram pada awal tahun ini, katanya.

Views:

2009
Kongsi :
Previous post COVID-19: Sambutan pengunjung ke Zoo Melaka merosot
Next post Seramai 214 asnaf miskin bakal terima sumbangan, esok
Ubah saiz-+=