Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka: aduan rakyat tanpa sempadan
AYER KEROH 22 Jun- Orang Melaka hadir ke Program Hari Bertemu Rakyat (Open Day) Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini, puas kerana dapat menyampaikan sendiri permasalahan mereka kepada wakil rakyat, agensi dan jabatan berkenaan.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati orang ramai mula memenuhi dewan MITC sejurus selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf menyampaikan amanat kepada penjawat awam pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2023.
Warga emas, Nora Lailah, 74, dari Tehel tiba di perkarangan MITC seawal jam 8 pagi untuk membuat aduan secara terus kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya datang bersama anak saudara, tujuan utama untuk bertanyakan mengenai status permohonan bantuan kebajikan anak saya yang menghidap sakit jantung, seorang lagi anak adalah orang kurang upaya (OKU).
“Selepas berjumpa dengan Exco berkaitan saya diberikan pencerahan mengenai perkara itu. Sekarang barulah berasa lega, kerana permohonan dibuat sejak tahun lalu dan alhamdulillah diselesaikan hari ini juga.
“Pandangan saya, Open Day ini bagus dan sewajarnya dilaksanakan secara kerap, rakyat seperti saya boleh mengadu terus permasalahan dan tiada sempadan antara rakyat dan Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri),” katanya ketika ditemui hari ini.
Rasa puas dan gembira juga dikongsi pengusaha kerusi sewa di Pantai Klebang, Fatimah Md Gapal, 56, selepas aduan membelenggunya mendapat perhatian Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.
“Saya tahu mengenai penganjuran hari terbuka ini menerusi laman sesawang Facebook, jadi saya mahu ambil peluang berjumpa terus dan mendapatkan kepastian.
“Selepas dimaklumkan, perkara ini akan dibincangkan diperingkat atasan saya harap, peniaga kecil seperti saya diberi peluang untuk menjalankan perniagaan tanpa halangan.
“Saya berpendapat hari terbuka ini perlu dianjurkan setiap bulan, kerana memudahkan rakyat berjumpa dan mengadu secara terus kepada pembuat keputusan,” katanya.
Pada program tersebut sebanyak 67 agensi dan jabatan Kerajaan Negeri membuka kaunter bagi memudahkan urusan memproses aduan dan mencari penyelesaian permasalahan rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.