20,000 dijangka serbu Karnival Minggu PMKS Zon Selatan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Seramai 20,000 usahawan dan orang ramai dijangka memeriahkan Karnival Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Peringkat Zon Selatan 2023 yang diadakan di Mydin Mall, MITC, bermula hari ini hingga Ahad.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, karnival selama empat hari itu menyediakan pelbagai program menarik untuk orang ramai, khususnya usahawan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Katanya, antara pengisian bermanfaat sepanjang karnival itu ialah program padanan perniagaan yang mana mana-mana usahawan yang mempunyai produk sendiri berpeluang memasarkan produk mereka secara terus kepada 11 syarikat besar yang terdiri daripada pasar raya dan outlet francais, selain satu syarikat eksport ke Indonesia.

“Pada hari pertama dan kedua karnival, pengusaha produk boleh datang untuk bawa sampel produk masing-masing kepada 11 syarikat besar yang ada untuk dibentang dan dinilai.

“Jika produk mereka diyakini mampu memberi pulangan secara menang-menang kepada syarikat, produk itu mungkin dapat dipasarkan secara terus ke outlet besar di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas ketika melawat tapak karnival berkenaan di Mydin MITC, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Mengulas lanjut, Allex berkata, selain padanan niaga, usahawan juga boleh mendapat manfaat menerusi forum dan taklimat khas yang dibawakan agensi-agensi kerajaan seperti SME Corp, TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan lain-lain.

“Daripada taklimat dan gerai pameran yang disediakan, usahawan-usahawan ini boleh mendapat maklumat mengenai bantuan dan dana yang disediakan kerajaan untuk membantu mereka,” katanya.

Menurut beliau lagi, selain usahawan, orang ramai juga diseru untuk hadir ke karnival berkenaan yang menyediakan 80 gerai jualan pelbagai produk iaitu daripada makanan, minuman, kraftangan, hinggalah ke produk pertanian.

Malah, katanya, turut diadakan Jualan RAHMAH dan Jualan MADANI sepanjang karnival itu yang mana orang ramai boleh membeli lebih 20 jenis barang dapur pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1266
Kongsi :
Previous post Tiada kontroversi dalam soal penggantian Acryl Sani – Saifuddin Nasution
Next post Malaysia rekod 4.5 juta pelancong suku pertama 2023
Ubah saiz-+=