Sorting by

×

Dua pasukan khas pantau masalah Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ALOR GAJAH 22 Jun – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mewujudkan dua pasukan khas (task force) bagi memastikan tiga masalah utama di kawasan Alor Gajah dapat diatasi sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Yang Dipertua MPAG, TPr Saifuddin Abdul Karim berkata, tiga masalah itu melibatkan tandas awam, infrastruktur dan sampah longgok.

Jelasnya, dua pasukan tersebut dianggotai anggota MPAG, Ahli Majlis MPAG, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), wakil dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan SWM Environment.

Katanya, dua pasukan khas itu ditubuhkan pada Mac lalu bagi memantau dan mengenal pasti lokasi berkaitan dalam kawasan pentadbiran Alor Gajah.

“Kita telah mengenal pasti sebanyak 42 tandas awam yang perlu dibaiki melibatkan kerosakan infrastruktur, siling, paip, vandalisme dan pelbagai lagi.

“Selain itu, kita juga memfokuskan kepada lokasi-lokasi yang sering menjadi tempat pembuangan sampah longgok dan kotor.

“Hujung bulan ini, dua pasukan terbabit akan menilai peruntukan yang diperlukan bagi membaiki kerosakan tersebut untuk kerja-kerja menaik taraf,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebelum merancang pelbagai agenda dan program untuk TMM2024, pihaknya mahu memastikan infrastruktur awam di Alor Gajah berada dalam keadaan selesa dan mesra pengguna.

“Antara lokasi bagi sampah longgok pula melibatkan lokasi tumpuan pelancong pada setiap hujung minggu seperti Pantai Telok Gong, Tanjung Bidara, Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi.

“Dalam pasukan khas ini kita turut melibatkan JPKK setiap kampung. Tugas JPKK ini kita minta untuk mereka maklum lokasi sampah longgok di kampung mereka bagi kita mengatasi masalah tersebut.

“Sebelum TMM2024, kita mahu memastikan masalah utama berkaitan kebersihan dapat diatasi menjelang TMM2024, dan seterusnya menjadikan daerah Alor Gajah sebagai lokasi mesra pelancong dengan menyediakan infrastruktur yang selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1255
Kongsi :
Previous post 67 jabatan, agensi tampil bantu selesai aduan rakyat
Next post Bekas teman wanita pemain bola sepak Sabah ditahan
Ubah saiz-+=